Thursday 14 March 2013

Pencerobohan Sabah : Malaysia Syak Ada Dalang Pihak Ketiga

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dilaporkan Bernama tidak menafikan pembabitan pihak ketiga dalam insiden pencerobohan Sabah oleh pengganas Sulu seperti dilaporkan akhbar Filipina baru-baru ini.

Oleh itu, beliau berkata, Wisma Putra akan mendapatkan maklumat terperinci daripada rakan sejawatannya bagi memulakan penyiasatan di negara ini untuk memastikan sama ada rakyat Malaysia menjadi dalang dalam mewujudkan ketidakstabilan berkenaan.
“Saya telah meminta rakan sejawatan saya untuk terus memberi maklumat berkaitan apa yang dilapor akhbar Filipina berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga.
“Beberapa diplomat dan duta turut mempersoal mengapa ia berlaku sekarang?
Itu adalah soalan yang kerap ditanya ketika ini.
“Jadi, selain fokus dan keutamaan mencari penyelesaian masalah di Lahad Datu, pada masa yang sama, kita juga akan memulakan siasatan berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi taklimat dengan kor diplomatik dan media berkaitan Op Daulat semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa risikan menyiasat dakwaan seorang pemimpin pembangkang mempunyai peranan dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
Akhbar the Philippine Daily Inquirer menyiarkan artikel agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata pengganas terbabit ke Sabah atas jemputan seorang ahli politik dari parti pembangkang di Malaysia.
The Manila Times pula menyiarkan dakwaan pencerobohan itu ada kaitan dengan kempen pembangkang di Malaysia untuk melepaskan wilayah autonomi Sabah, jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Malaysia sentiasa memantau laporan media Filipina mengenai individu yang kemungkinan menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu itu.
“Pada hemat saya, banyak lagi bukti-bukti yang akan dikeluarkan oleh media Filipina dan ia akan dikeluarkan jika terbukti (laporan itu) kukuh oleh mereka.
“Saya tak mahu implikasikan pada mana-mana individu, biarlah media Filipina yang menyebutnya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihak kerajaan tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden tersebut.
menurutnya, siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar pencerobohan itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.
“Siasatan lebih menyeluruh perlu untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku…ini kami akan lakukan sama ada menggunakan RCI atau buka kertas putih.
“Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini dan siapa yang membiayai atau merancang kerana ini semua menyentuh kepada keselamatan nasional,” katanya.